Unit ini telah ditubuhkan pada 1 Mac 1978 bersama-sama penubuhan KESEDAR dan diberi nama Bahagian Perkhidmatan Teknik KESEDAR. Semua pegawai dan kakitangannya adalah penjawat KESEDAR melainkan Pengurus Bahagian yang dipinjam dari Ibu Pejabat JKR, Kuala Lumpur. Selepas enam (6) tahun iaitu pada Mei 1984 semua pegawai dan kakitangan Bahagian ini telah diserapkan kepada Perkhidmatan Awam Kementerian Kerja Raya Malaysia dan namanya telah ditukarkan kepada nama baru iaitu Unit JKR KESEDAR di mana gaji dan elaun tetap (KOD 10000) dibiayai oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia. Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia telah dipertanggungjawabkan untuk mengawasi perjalanan Unit JKR KESEDAR.
Tugas dan fungsi Unit ini pada masa itu hanyalah melaksanakan projek-projek di bawah program KESEDAR sahaja. Namun begitu berdasarkan keperluan pembangunan yang pesat di dalam kawasan Kelantan Selatan, tugas dan fungsi Unit ini telah diperluaskan dari semasa dan telah dipertanggungawabkan untuk melaksanakan projek-projek Persekutuan selain dari projek KESEDAR. Oleh sebab perubahan fungsi ini, maka mulai Januari 1991 Unit ini telah berfungsi sebagai Pusat Tanggungjawab sendiri di mana semua Belanja Mengurus disalurkan oleh Kementerian Kerja Raya Malaysia.
Sesuai dengan kemajuan perkhidmatan awam maka Kementeria Kerja Raya pada tahun 1993 telah bersetuju supaya Unit ini mempunyai bangunan pejabat sendiri. Bermula dari situ, usaha-usaha telah dibuat untuk mengadakan bangunan pejabat sendiri di Bandar Tanah Merah. Satu kawasan tanah di mana terletaknya bekas Pejabat Tapak Projek Lebuh Raya Pasir Putih/Jeli telah dibangunkan menjadi pejabat. Kerja-kerja membaiki dan mengubahsuai kawasan dan bangunan pejabat sedia ada telah bermula pada penghujung tahun 1993 dan telah berjaya disiapkan pada penghujung tahun 1994. Seterusnya, Unit ini dapat mengadakan bangunan makmal dan bengkel sendiri di Pejabat Tanah Merah. Kemudahan makmal dan bengkel dapat menjimatkan masa dan meningkatkan kualiti pembinaan dan pengurusan. Usaha-usaha masih lagi dibuat untuk menigkatkan lagi taraf makmal dan bengkel supaya setanding dengan kehendak semasa.
Unit ini digerakkan oleh 160 orang pegawai dan kakitangan dari pelbagai kategori. Dengan diketuai oleh seorang Jurutera Awam Gred J52 sebagai Pengarah. Unit ini dapat berfungsi sebagai agen pembangunan bagi Kelantan Selatan.
Unit ini beroperasi di dalam kawasan Kelantan Selatan meliputi kawasan seluas 1,234 juta hekta. Ia merangkumi keseluruhan Jajahan Gua Musang seluas 797,976 hektar, Kuala Krai seluas 235,689 hektar, Jeli seluas 128,304 hektar dan sebahagian besar Jajahan Tanah Merah seluas 72,263 hektar. Keluasan ini meliputi 83% daripada keluasan Negeri Kelantan. Rupa buminya berbukit-bukau dan hanya 20% atau 248,000 hektar sahaja yang kecerunannya tidak melebihi 25% sesuai untuk pembangunan. Bagi memudahkan pengurusan bersesuaian dengan pengurusan KESEDAR, kawasan-kawasan ini dibahagikan kepada 6 kawasan operasi di dalam 2 zon seperti berikut :-
Zon Utara
Utara 1 – Keluasan 110,096 hektar.
Utara 2 – Keluasan 158,035 hektar.
Utara 3 – Keluasan 119,937 hektar.
Zon Selatan
Selatan 1 – Keluasan 259,593 hektar.
Selatan 2 – Keluasan 113,284 hektar.
Selatan 3 – Keluasan 273,064 hektar.